Rabu, 7 Julai 2010
Soalan: No. 20
Tuan Wee Choo Keong [ Wangsa Maju ] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kementerian telah meluluskan satu kontrak penswastaan kepada Asas Serba Sdn Bhd atau syarikat untuk mengambil alih operasi tol jalan daripada PLUS memohon Kementerian memberi syarat-syarat penting di dalam kontrak tersebut dan sama ada kontrak dianugerahkan secara tender terbuka kepada syarikat tersebut.
Jawapan
Tuan Yang DiPertua,
Kerajaan tidak meluluskan/menganugerahkan sebarang kontrak penswastaan kepada mana-mana syarikat swasta termasuk Asas Serba Sdn. Bhd. untuk mengambil alih operasi jalan tol daripada PLUS. Suka saya menarik perhatian dewanyang mulia ini bahawa Unit Perancang Ekonomi dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri setakat ini belum menerima sebarang permohonan daripada Asas Serba Sdn. Bhd. untuk mengambil alih semua operasi lebuhraya bertol. Dalam hubugan ini, saya telah memaklumkan jawapan tersebut dalam sidang Parlimen yang lepas (Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas) ketika menjawab soalan yang sama.