Adakah keselamatan setiap pesawat penerbangan tambang murah yang beroperasi di LCCT atau berlepas dari LCCT di audit secara berterusan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA)…?
Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat
Soalan No. 54
Tuan Wee Choo Keong [ Wangsa Maju ] minta Menteri Pengangkutan menjelaskan adakah keselamatan setiap pesawat penerbangan tambang murah seperti AirAsia, Jetstar, Tiger Air dan lain-lain yang beroperasi di LCCT atau berlepas dari LCCT di audit secara berterusan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebagaimana kesemua pesawat penerbangan antarabangsa termasuk MAS yang bernaung di bawah IATA diaudit secara berterusan oleh IATA Operational Safety Audit (I.O.S.A). Jika ada, apakah prosedur auditing dan berapa kerapkah pesawat penerbangan tambang murah ini di audit oleh DCA?
Jawapan
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat Wangsa Maju, Jabatan Penerbangan Awam sememangnya senantiasa memastikan setiap pesawat yang dibenarkan terbang berada dalam keadaan selamat. Bagi memastikannya, peraturan dan prosedur penyenggaran semua pesawat terbang awam adalah tertakluk kepada peraturan Civil Aviation Regulation (CAR) 1996 dan Airworthiness Notice (AN) yang sentiasa dikemaskini mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) yang semasa dan terkini. Semua prosedur keselamatan pesawat yang terpakai tidak membezakan antara pesawat penerbangan operasi tambang murah atau pesawat penerbangan berjadual domestic dan antarabangsa.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Syarikat Penerbangan MAS bukanlah bernaung di bawah IATA untuk di audit secara berterusan oleh IATA Operational Safety Unit (IOSA) sepertimana yang dinyatakan di dalam soalan Yang Berhormat tersebut. Sebenarnya, Audit Keselamatan pesawat MAS adalah diselenggara oleh JabatanPenerbangan Awam.
Mengenai pertanyaan Yang Berhormat tentang prosedur auditing pula, ia adalah berdasarkan Standard And Recommended Practices (SARPs) oleh ICAO dan juga “Best Practices” seperti yang diamalkan oleh negara-negara Europah melalui prosedur-prosedur European Aviation Safety Agency (EASA).
Kekerapan pemeriksaan ke atas pesawat adalah dilakukan pada setiap tahun bagi tujuan untuk memperbaharui Certificate of Airworthiness. Walau bagaimanapun, terdapat pemeriksaan tidak berkata di buat secara rawak dan “Ramp Inspection” yang dijalankan setiap bulan bagi memastikan pesawat senantiasa berada di dalam keadaan selamat untuk digunakan.