3-11-2011
Y.B. TUAN WEE CHOO KEONG [WANGSA MAJU] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan: –
(a) apakah usaha due diligence yang diambil oleh Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) /MAS, sebelum memasuki rundingan untuk pajakan tiga buah jet bagi Alwafeer Air (Alwafeer) dan adakah kesemua tiga perjanjian pajakan telah dilaksanakan dengan serta-merta dan sekiranya ya, bilakah tarikh bagi perjanjian pajakan tersebut; dan
(b) sila senaraikan tarikh yang tepat bagi setiap pesawat Jumbo yang diserahkan kepada Alwafeer dan tarikh akhir sewaan yang akan dibayar oleh Alwaafeer bagi setiap pesawat dan berapakah jumlah bayaran sewaan yang tertunggak oleh Alwafeer Air kepada PMB/MAS.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
-
Untuk makluman Yang Berhormat, Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) dan Malaysian Airline System (MAS) telah melaksanakan kajian terperinci (due diligence) yang merangkumi aspek perundangan dan pelan perniagaan sebelum tiga buah pesawat miliknya dipajak kepada Alwafeer Air (Alwafeer). Kajian tersebut telah dilaksanakan di peringkat dalaman syarikat.
-
Perjanjian tersebut memberi peluang kepada MAS dan PMB untuk meraih pendapatan melalui pajakan tiga buah pesawat yang merupakan lebihan daripada keperluan sebenar MAS. Selain daripada itu, MAS turut mendapat perolehan sampingan dalam bentuk perkhidmatan kejuruteraan yang ditawarkan serta dapat memaksimumkan penggunaan alat ganti dan kakitangannya. MAS dan PMB telah menerima sejumlah RM79.35 juta dalam bentuk tunai daripada Alwafeer bagi perjanjian pajakan tersebut.
-
Perjanjian pajakan bagi tiga buah pesawat tersebut telah ditandatangani masing-masing pada 16 Ogos 2009, 20 Oktober 2009 dan 2 November 2009, dengan penyerahan pesawat kepada Alwafeer masing-masing dibuat pada 19 Ogos 2009, 21 Oktober 2009 dan 2 November 2009. Ketiga-tiga perjanjian tersebut akan tamat pada ulang tahun keenam perjanjian iaitu pada tahun 2015.
-
Tarikh terakhir Alwafeer membuat pembayaran sewa bagi pesawat-pesawat tersebut adalah pada 11 November 2010, dan sehingga 31 Ogos 2011, tungukan bayaran sewa kepada PMB adalah sebanyak USD19.5 juta. PMB dan MAS telah pun menghantar notis tuntutan kepada Alwafeer dan kini dalam proses untuk menamatkan kontrak pajakan tersebut. Ketiga-tiga pesawat tersebut kini telah pun berada dalam simpanan PMB.