Semua aspek telah diambilkira untuk melindungi kepentingan MISC
Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Bertulis Dewan Rakyat
Soalan No. 436
Tuan Wee Choo Keong [ Wangsa Maju ] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kepentingan negara di dalam usahasama 50-50 dalam Transware Distribution Services Pte Ltd antara MISC dan Keppel Logistics terus dilindungi apabila wakil-wakil MISC di dalam lembaga pengarah Transware Distribution Services Pte Ltd telah membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif Keppel Logistics, iaitu sebuah syarikat Singapura untuk menyingkirkan mereka pada Mei 2010 dan telah pula membantu menggantung barisan pengurusan mereka dan digantikan dengan lebih ramai pasukan pengurusan dari Keppel Logistics?
Jawapan
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Transware Distribution Services Pte Ltd (TDS) adalah sebuah syarikat usahasama diantara MISC Integrated Logistics Sdn Bhd (50%) dan Keppel Logistics Pte Ltd (50%) yang menjalankan perniagaan pergudangan dan pengangkutan. Ahli Lembaga Pengarah TDS diwakili oleh dua pengarah dari Keppel Logistics dan dua pengarah dari MISC Integrated Logistics Sdn Bhd.
2. Pada bulan Mei 2010, hasil daripada audit dalaman, didapati beberapa orang pegawai atasan TDS telah melakukan beberapa salahcara dan salahlaku syarikat yang melanggar corporate governance yang telah ditetapkan. Setelah berpuashati serta bersetuju dengan laporan audit dalaman berserta dengan bukti-bukti yang telah diperolehi, Ahli Lembaga Pengarah syarikat telah sebulat suara membuat keputusan menyinkirkan (dismissed) dan menamatkan (terminated) perkhidmatan empat orang pegawai atasan syarikat berkenaan.
3. Pada masa ini, semua urusan pentadbiran syarikat dihalankan oleh dua ahli Exco TDS yang juga Ahli Lembaga Pengarah, masing-masing dari Keppel Logistics dan MISC Integrated Logistics Sdn Bhd.
4. Semua keputusan ini telah diambil dan dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak iaitu Keppel Logistics dan MISC Integrated Sdn Bhd. Dalam hal ini, MISC tidak pernah diketepikan atau dipinggirkan oleh mana-mana pihak dalam membuat keputusan serta penentuan hala tuju strategik syarikat. Semua aspek telah diambilkira untuk melindungi kepentingan MISC dalam syarikat berkenaan.