Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah yang dimaksudkan dengan dakwaan Kerajaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berkebajikan dan apakah ia tidak akan menjejaskan kesihatan fiskal Negara.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Konsep ‘Negara Berkebajikan’ bermaksud sesebuah kerajaan yang memainkan peranan penting dalam melindungi dan memajukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ia adalah berdasarkan prinsip-prinsip kesaksamaan peluang, pengagihan kekayaan yang saksama dan tanggunjawab awam kepada golongan yang tidak dapat membela diri mereka daripada peruntukan minimum untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Walaupun negara berhadapan dengan persekitaran luar yang semakin mencabar, kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara tetap menjadi perkara utama sejajar dengan semangat Rakyat Didahulukan. Prihatin dengan beban yang ditanggung oleh rakyat terutamanya kenaikan harga barangan pengguna, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bersepadu bersifat jangka pendek dan panjang bagi membantu golongan ini seperti diumumkan dalan Belanjawan 2013. Antaranya termasuk meningkatkan pembinaan rumah mampu milik, bantuan kewangan dan insentif kepada rakyat, program latihan dan kemahiran serta menyediakan perkhidmatan kesihatan.
Langkah-langkah jangka pendek yang diperkenalkan Kerajaan adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masing-masing sebanyak RM500 dan RM250 ringgit kepada ketua isi rumah dan individu bujang yang layak dan memenuhi kriteria. Selain daripada itu Kerajaan juga memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Baucar buku bernilai RM200 ringgit juga diberikan kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam, di seluruh negara.
Kerajaan juga telah memperkenalkan langkah-langkah jangka panjang seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan juga Program Transformasi Bandar (UTC) dalam usaha bagi mengukuhkan lagi kawasan luar bandar dan bandar. Klinik 1Malaysia juga adalah salah satu langkah jangka panjang yang mendapat sambutan baik daripada rakyat. Kerajaan juga terus berusaha untuk menambah jumlah pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat melalui PR1MA, Program Perumahan Rakyat dan Skim Rumah Pertamaku.
Tuan Yang di-Pertua,
Sungguhpun pelbagai langkah telah diperkenalkan oleh Kerajaan di dalam Bajet 2013 yang lalu, kedudukan fiskal negara dijangka tidak akan terjejas. Ini kerana dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 billion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Dari situasi ini dapat dilihat Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.
Kerajaan terus berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Apabila pendapatan rakyat dapat ditingkatkan, sekali gus akan dapat meningkatkan pendapatan bersih dan kuasa beli rakyat. Maka, secara tidak langsung komitmen Kerajaan dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat dapat dikurangkan.
Sekian, terima kasih.