Tuan Wee Choo Keong [ Wangsa Maju ] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah jenis ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan KPI untuk KD Tunku Abdul Rahman serta apakah kosnya dan kos penyelenggarannya setiap tahun.Jawapan
Pembangunan keupayaan Angaktan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada capability-based yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi di masa hadapan. Oleh itu, isu yang timbul bukanlah jenis ancaman yang dihadapi tetapi kepada keupayaan memberi cegah rintang (deterrent) kepada bakal musuh. Keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara kita. Kehadiran kapal selam yang canggih dan moden dalam inventori pertahanan negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut. Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menjadikan sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa.
Selaras dengan KPI TLDM, iaitu untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut.
Nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah EURO 1.084 bilion yang meliputi harga pembelian dua (2) buah kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik besepadu (Integrated Logistics Support) dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek. Sementara kos pengoperasian dua (2) buah kapal selam termasuk senggaraan dianggarkan sebanyak RM290 juta stahun.